RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Pandu Uji / 3 Oktober 2020

CFMOTO 400NK: Terbukti Hebat!

Hari demi hari jenama CFMOTO semakin popular di kalangan pencinta dua roda. CFMOTO merupakan sebuah jenama dari Hangzhou, China yang telah wujud sejak tahun 1989, dan kini mempunyai rangkaian pengedar di Asia, Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan beberapa Negara lain. Untuk rangkaian global CFMOTO telah berjaya menghasilkan beberapa buah model motosikal dari jenama mereka sendiri antaranya ST PAPIO, 150NK, 250SR, 250NK, 300SR, 300NK, 400NK, 400GT, 650MT, 650NK dan 650GT.

Pada kali ini kami diberi peluang untuk menguji sebuah model naked iaitu CFMOTO 400NK. Jentera ini memiliki rekabentuk agresif sama seperti 250NK dan 650NK. Tidak kira pandang dari sisi hadapan, tepi mahupun belakang, 400NK mempunyai bentuk yang cukup cantik, menarik dan menawan.

Panel meter pada model 400NK adalah jenis LCD dengan berlatar belakangkan lampu berwarna biru. Sangat jelas, paparan yang cerah memudahkan penunggang melihat informasi. Antara info yang dipaparkan ialah tahap kelajuan, putaran rpm, masa, tahap bahan api, mod tunggangan, kedudukan gear dan jarak perjalanan.

Sebaik sahaja berada di atas NK, kami terus menaikkan tongkat sisi, putarkan kunci dan tekan suis penghidup elektrik. Kedengaran deruman sederhana yang keluar daripada enjin dua silinder sebaris, empat lejang, DOHC bersistem penyejuk cecair. Ekzosnya menawarkan bunyi yang merdu. Semakin galak kami memulas pendikit, sifat garangnya mula memunculkan diri. Model ini turut didatangkan dengan dua jenis mod tunggangan iaitu Eco dan Sport.

Enjin bertransmisi 6 kelajuan ini menawarkan tunggangan menyeronokkan dengan menghembuskan kuasa maksimum 29.5kW pada 9,500rpm manakala kuasa tork 32Nm pada 7,750rpm. Oleh kerana NK merupakan sebuah jentera naked , mesin ini memilik kuasa tork yang tinggi dan berupaya meninggalkan kenderaan lain tanpa sebarang halangan. Wow! ia menerkam ke hadapan dengan tangkas sekali.

Dari Kuala Lumpur kami menuju ke sebelah Utara untuk menguji ketangkasan 400NK. Sebaik sahaja memasuki lebuhraya, pendikit mula dipulas dengan lebih galak lagi. Oleh kerana kenderaan agak banyak pada waktu itu, kami masih mengekalkan mod tunggangan Eco untuk tunggang biasa dan santai.

Sistem transmisi pada jentera ini menggunakan klac jenis basah dan plat berganda. Dengan adanya sistem klac yang lembut, kami dapat menukar kedudukan setiap gear dengan lancar dan tanpa tersangkut-sangkut.

Selepas puas dengan mod Eco, kami memilih pula mod Sport yang menawarkan kuasa hantaran lebih pantas dan kuat. Apabila jalan sudah mula lengang, pulas pendikit tundukkan posisi badan sedikit untuk merasakan kepantasan CFMOTO ini. Walaupun ia sebuah jentera berkapasiti 400cc, NK mampu diperah ke tahap maksimum. Dengan berat 206kg, model ini mampu mencapai kelajuan pada 170 km/j dengan senang sekali.

Sampai sahaja di Taiping, kami mula melakukan tugasan menangkap gambar. Parking sahaja di tepi, model ini ternyata mampu menarik perhatian orang-orang yang lalu di tepinya. Ada sahaja mata yang menjeling. Hari semakin gelap dan badan pun sudah penat. Kami bermalam di sini untuk berehat. Keesokannya perjalanan disambung ke Gerik untuk menginap di sana semalam lagi. Kemudian perjalanan diteruskan semula ke puncak Banjaran Titiwangsa.

Kehebatan jentera ini amat terbukti apabila dibawa ke jalan-jalan berbukit yang mempunyai selekoh. Untuk menguji kelincahannya, kami mengambil peluang membawa NK ke Lebuhraya Timur-Barat di mana laluan ini menghubungkan Negeri Perak dan Kelantan. Kekuatan kuasa enjin dua silinder ini membolehkan kita mendaki dengan mudah. Pilih sahaja kedudukan gear yang sesuai… dan panjat!

Memang seronok melayan selekoh-selekoh di sini. Tayar-tayar bersaiz 120/70 ZR17 M/C (hadapan) dan 160/60 ZR17 M/C (belakang) membolehkan naked ini berada kemas di laluannya. Merengkan sahaja badan jentera tersebut, keupayaan tayarnya tidak perlu diragui. Ia mencengkam permukaan jalan dengan cemerlang. Sentiasa berwaspada ketika bermain di jalan-jalan berselekoh. Gunakan teknik yang betul apabila mengambil selekoh. Keselamatan diri itu sangat penting. Ingat... sekali silap, padah menanti.

Dari segi pengendalian, kami sukakan cara sistem saspensinya berfungsi. NK dipadankan dengan saspensi hadapan jenis fork teleskopik. Sistem saspensi bertindak dengan cukup efisien. Ia menyerap segala hentakan dengan kemas. Walaupun membrek dengan keras, kami tidak terasa hendak menggelongsor ke hadapan. Saspensi belakangnya pula adalah jenis penyerap hentak tunggal yang mampu memberi keselesaan buat penunggang ketika melalui jalan-jalan beralun ataupun meratah selekoh.

Sebagai seorang penunggang dua roda, kepantasan sesebuah motosikal sahaja belum lagi mencukupi. Untuk melengkapkan jentera kita, prestasi brek yang cemerlang amat diperlukan supaya kita berada di laluan yang betul dan keselamatan sentiasa terjamin. CFMOTO telah melengkapkan jentera ini dengan sepasang brek cakera berkembar di bahagian hadapan bersaiz 300mm manakala belakang pula adalah cakera tunggal bersaiz 240mm beserta sistem ABS dua saluran yang sama sekali tidak menghampakan.

Prestasi sistem breknya memang layak dipuji. Ianya berfungsi dengan cukup bijak sekali. Keselamatan penunggang lebih terjamin apabila sistem ABS bekerja dengan cemerlang. Benar… semasa kami menunggang laju bersama jentera tersebut, tayar tidak mudah terkunci apabila tuas brek ditekan dengan kuat. Ternyata kelajuan model ini dapat diperlahankan dengan pantas dan selamat.

Pelana setinggi 780mm direka untuk memberi keselesaan buat semua jenis penunggang. Kami juga dapat rasakan posisi menunggang CFMOTO ini memang sesuai untuk semua jenis perjalanan mahupun dekat atau jauh. Tidak terasa penat langsung berada lama di atasnya. Rekabentuk tangkinya dicipta untuk membantu kita dapatkan posisi tunggangan yang lebih baik.

Bar hendalnya yang lebar memudahkan kami mengawal 400NK. Cuma ruang sudut untuk belokan agak kecil sedikit untuk kita bergerak di kawasan yang terhad. Manakala untuk membuat pusingan U perlu mengambil jarak yang lebih, jika tidak kita akan mudah hilang imbangan dan terjatuh.

Langit yang cerah sudah bertukar gelap. Kedengaran guruh mula berdentum, menandakan hujan akan turun pada bila-bila masa sahaja. Dari Gerik, Perak, perjalanan disambung semula untuk pulang ke Kuala Lumpur bersama 400NK. Mod Eco dipilih untuk tunggangan santai. Tidak lama kemudian hujan mula membasahi bumi. Suasana pandangan di hadapan mula kabur. Mujur model ini disempurnakan dengan suluhan lampu utama yang luas dan terang untuk penglihatan lebih jelas demi keselamatan kita. Lampu belakangnya pula adalah jenis LED yang tampak cantik dan kemas.

Walaupun ditunggang dengan pelbagai jenis gaya, NK mampu membawa kami sekitar 250 kilometer dengan satu isian penuh 17 liter. Prestasi enjinnya cukup memuaskan. Rupa bentuknya amat memukau pandangan. Kami yakin bahawa pihak CFMOTO sentiasa bekerja keras untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.

CFMOTO 400NK ditawarkan pada harga yang cukup menarik iaitu RM18,900. Harga yang sangat berpatutan. Untuk melihat dengan lebih dekat kunjungilah KTNS Holdings Sdn Bhd yang terletak di Pulau Pinang atau boleh lawati pusat pengedar jentera CFMOTO yang sah di seluruh Malaysia. RR

Isu Pada

Ogos 2020

Spesifikasi

Enjiin:2 silinder sebaris, 4 lejang, DOHC, sistem penyejuk cecair
Gerek x Lejang:68.4 x 54.5mm
Kuasa maksimum:29.5kW pada 9,500rpm
Tork maksimum:32Nm pada 7,750rpm
Saspensi hadapan:fork teleskopik
Saspensi belakang:penyerap hentak tunggal
Brek hadapan & belakang:cakera berkembar & ABS / cakera tunggal & ABS
Tayar hadapan:120/70 ZR17 M/C CST
Tayar belakang:160/60 ZR17 M/C CST
Isi tangki:17 liter

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

KOVE 800X GT: Best Untuk Kembara...Syok Di Selekoh

Kawasaki KLE500 - Dari Lebuhraya ke Laluan lasak

Kawasaki Versys 1100SE: Empat Silinder, 1,099CC… Sesuai Untuk Kembara Jauh!

Honda CRF1100L Africa Twin 2026: Pengembaraan Baru Bermula

Honda CBR650R E-Clutch - Sebuah Supersport Mesra Pengguna?

Triumph Street Triple 765 RX: Gabungan Kuasa, Prestasi & Teknologi

Suzuki GSX-8TT - Sentuhan Retro Tapi Moden

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Yamaha YZF-R9 Tiba di Malaysia - RM68,000

HLYM secara rasminya melancarkan model supersport baharu iaitu YZF-R9.

Warta Roda

Yamaha XMAX 250 vs XMAX 300: Empat Media Kongsi Pengalaman

Kalau nak tahu sedap atau tidak sesebuah skuter, jangan tengok angka atas kertas saja. Jangan hanya sekadar membaca komen di sosial media. Jawapannya kena cari sendiri...kena rasai sendiri. Begitu juga dengan perbezaan antara dua skuter 'terhangat' di pasaran. Tak lain dan tak bukan... Yamaha XMAX 250 dan yang terbaru, Yamaha XMAX 300.

Warta Roda

Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

Yamaha Blu Universe pertama di Malaysia

Model Baru

KTM 990 RC R - Diinspirasikan Jentera Lumba KTM di MotoGP

KTM Malaysia secara rasminya memperkenalkan model supersport baharu iaitu 990 RC R.