RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Kembara / 2 Disember 2023

Ride Berdua ke Siam

Buat julung-julung kalinya, saya membawa anak perempuan saya ke luar negara menaiki kenderaan dua roda atau lebih tepat, sebuah skuter berjenama Royal Alloy berkapasiti 250cc.

Ride ini telah saya rancang berbulan lamanya sebab tarikh yang dipilih adalah semasa cuti sekolah minggu sambutan Hari Merdeka. Pasti hotel-hotel akan penuh jika lambat menempah bilik. Orang yang paling teruja adalah anak saya, Sorfina yang berusia 11 tahun. Setakat ini, perjalanan paling jauh untuknya adalah dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada bulan Mac yang lalu. Dia pernah ke Hatyai bersama ibunya pada hujung tahun lepas menaiki bas persiaran dan Sorfina tahu bahawa pengalaman menaiki kenderaan dua roda amat berbeza sekali.

28hb. Ogos - Jam 3.02 pagi! Enjin skuter pun dihidupkan. Kami dah bersedia! Cukup tidur dari lepas waktu Isyak dan sempat juga mengalas perut sebelum berlepas.

Syukur kerana cuaca menyebelahi kami sepanjang perjalanan. Kami berhenti hanya jika perlu untuk mengisi minyak atau ke tandas. Sejak dari dulu lagi, saya mengajar anak saya berkomunikasi dengan saya atas motor menggunakan isyarat tangan. Saya tidak suka alat intercom. Contohnya jika mengantuk, jika lapar, jika perlu berhenti atau perjalanan bagus dan sebagainya, semua ada isyarat tangan tertentu.

Seperti biasa dan syukurlah, dia tidak mengantuk walaupun di sepanjang laluan lebuhraya yang lurus lagi membosankan. Laluan jauh sebegini kadang kalanya gelap gelita dan suhu yang teramat sejuk serta berkabus.

Apabila keluar di persimpangan Kuala Kangsar, kami berehat sebentar dan mengambil kesempatan untuk bergambar di papan tanda. Saya menerangkan bahawa mulai saat itu, perjalanan masih jauh tetapi akan lebih seronok. Maklumlah jalan berliku-liku yang sentiasa menjadi kegemaran para penunggang motosikal. Selain dari itu, mentari pun akan menerangi pemandangan sekeliling kami yang dipenuhi dengan berbukit-bukau. Sudah pasti alam akan menjadi sangat cantik tidak lama lagi. Jam ketika itu sudah pun menunjukkan 6.30 pagi.

Kami terpaksa berhenti di beberapa tempat untuk mengambil gambar kenangan dan sekitar jam 8.00 pagi, kami terpaksa berhenti sekali lagi kerana sudah teramat lapar. Ya... Sudah tiba masanya untuk bersarapan. Ketika itu, kami sudah sampai di Lenggong. Ramai pula pengunjung mungkin sebab cuti umum. 'Warga' warung yang kami singgah seperti terkejut melihat kami berdua berhenti makan hanya dengan menaiki skuter.

“Kamu berdua je? Mana geng yang lain? Dari mana dan ke mana? Bertolak pukul berapa tadi? Ini Lambretta ke? Senang ke nak cari spare part untuk skuter ni? Tak mengantuk ke dik? Berapa hari di Thailand?” Itu antara soalan-soalan yang ditujukan kepada kami. Setelah puas menjawab, menyapa para pelanggan di warung itu dan sarapan, kami pun menyambung semula kembara.

Apabila sampai di Pengkalan Hulu, perasaan saya menjadi teramat lega. Cuma beberapa kilometer saja lagi ke negara Gajah Putih. Perkara seterusnya ialah untuk ke Balai Polis di situ bagi mengesahkan dokumen kenderaan saya sebelum dibawa masuk ke Thailand (Siam).

Di balai tersebut, seorang anggota polis wanita menerangkan bahawa anak saya tidak dibenarkan masuk ke Thailand kerana umurnya belum mencapai 12 tahun. Sorfina dikatakan terpaksa ditempatkan di balai sementara menunggu saya pulang dari Thailand. 'Cuak' seketika raut wajah si kecil ni sehinggalah saya memberitahunya bahawa anggota polis tersebut hanya bergurau. Saya pun risau juga kerana nada polis wanita itu amat tegas. Macam real sungguh…

Selesai urusan imigresen dan kastam di kedua-dua sempadan negara, kami pun berjaya meletakkan kaki dan menghirup udara negara orang. Senyuman lebar di wajah anak saya dan saya yakin perasaan yang sama dirasakan ibunya walaupun berada nun jauh di Kuala Lumpur. Sayang sekali, pengembaraan kali ini tidak disertai isteri saya yang terpaksa bertugas.

Tempat persinggahan pertama kami adalah di kedai cenderahati Betong Route 410 – tempat wajib dikunjungi oleh semua pelancong yang berkunjung di bandar paling selatan Thailand. Kali ini, anak saya pula menjadi tumpuan para pekerja di sana. Pelbagai soalan dituju kepadanya. Saya hanya melihat sambil tersenyum. Famous Si Sorfina, kata hatiku…

Kami pergi makan di sebuah restoran masakan Thai yang biasa saya kunjungi. Kami terpaksa singgah di 7-Eleven kerana anak saya tidak suka makanan pedas tetapi lebih suka dengan makanan ala Barat. Saya membelikannya roti, pizza dan burger di situ. Barulah tersenyum anakku itu.

Oleh kerana masa untuk daftar masuk ke hotel masih lama, saya meletakkan bagasi kami dahulu di hotel dan menggunakan kesempatan yang ada untuk bersiar-siar di sekeliling bandar Betong. Di sebelah petang, kami keluar sekali lagi untuk ke Kolam Air Panas Betong. Lega rasanya apabila dapat merendamkan kaki. Kami singgah di Pejabat Pos untuk bergambar kenangan di peti surat terbesar di Thailand. Masa bergerak dengan cepat. Setelah makan malam, kami pun terus balik semula ke hotel untuk tidur awal.

Keesokannya, kami bangun awal untuk ke Ai Yerweng atau dikenalikan oleh orang Malaysia sebagai Awan Nano. Setibanya di puncak, kesejukan amat terasa lebih-lebih lagi oleh anak saya yang bertubuh kecil. Dia terasa kecewa kerana awan 'karpet' yang indah seperti yang dilihat dalam gambar, video mahupun internet tidak muncul jua. Dia juga agak sedih kerana saya tidak dapat membawanya di dek Skywalk atas sebab kesihatan.

Kaki saya tidak stabil sejak kemalangan ditimpa batu blok yang terjatuh lalu menghempap kaki kanan saya. Insiden itu mematahkan struktur tulang tapak kaki. Pendek kata, kalau berjalan ia akan menyakitkan kaki hingga ke bahagian pinggang saya. Jika bermotosikal jauh beribu batu pun tiada masaalah.

Hari itu juga merupakan hari terakhir kami di bumi Siam. Oleh itu kami lakukan aktiviti berdua sekadar apa yang sempat sahaja. Yang penting buat saya ialah kenangan bersama Sorfina. Sekembalinya dari Awan Nano, kami singgah di kawasan Terowong Piyamit yang penuh bersejarah. Sayangnya, dia tidak dapat masuk ke dalam terowong bawah tanah Komunis itu. Apakan daya saya. Diharap ibunya akan membawanya di waktu terdekat kembali ke Betong dan melakukan aktiviti yang kami telah terlepas.

Setelah puas makan tengahari, kami terus berehat di bilik hotel. Petang itu, kami pun bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Kali ini perjalanan terasa amat panjang sekali. Ia mengambil masa lebih daripada 7 jam berbanding hanya 5 jam 30 minit pada hari pertama kami berangkat. Mungkin disebabkan kenderaan yang banyak terutamanya lori atau disebabkan juga atas faktor kepenatan.

Walaupun tiba di rumah pada jam 12.30 tengah malam, Sorfina terus mendapatkan ibunya dan bercerita dengan penuh bersemangat tentang pengalaman manisnya. Ibunya cuba bertahan tetapi akhirnya terlena kerana sudah terlalu mengantuk menunggu kepulangan kami berdua. RR

- Fino & Sorfina

Isu Pada

Disember 2023

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

TM Bikers Ride ke Sri Lanka 2026

Yamaha Jejak Timur Tenere 700: Eh...Aku Dah Salah Group Lah!

Dari Malaysia ke London, Bing Moto Jelajah 26 Buah Negara

Ride Santai Bersama Yamaha XMAX 250

BATAM RIDE 2025

TM Bikers Ride ke Philippines 2025

Kembara RSX-RS Crew Taiping 2025 – Menjelajah Keindahan Pahang

Versys Explore The Unexplored (ETU) 2025: Bukan Sekadar 'Ride & Camp'!

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Model Baru

Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

Ducati terus menhangatkan pasaran superbike dengan melancarkan Panigale V4 S 2027, sebuah jentera sport yang menggabungkan enjin Desmosedici Stradale V4, Sistem Saspensi Elektronik Öhlins dan rekabentuk aerodinamik yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan.

Pandu Uji

KOVE 800X GT: Best Untuk Kembara...Syok Di Selekoh

Untuk model yang baru sahaja saya pick-up iaitu KOVE 800X GT, saya rasa lebih baik kalau dibawa keluar jauh. Bukan setakat pusing-pusing bandar.

Model Baru

CFMOTO 500SR Dilancarkan - RM29,988

CFMOTO Malaysia melancarkan 500SR sempena MotoGP Malaysia 2026.