RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Sudut RR / 2 Ogos 2022

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh akhbar tempatan pada awal Julai lalu, kita difahamkan dengan hasrat pihak kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal.

Menguatkan lagi kenyataan di atas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menyatakan bahawa - Kebimbangan keselamatan yang berkaitan dengan pengguna motosikal adalah keutamaan utama bagi Malaysia dalam usahanya mencapai matlamat untuk mengurangkan kadar kematian jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030.

Dalam laporan tersebut juga menyatakan pihak kerajaan turut mengambil perhatian serius kepada sembilan cadangan yang dikemukakan oleh sekumpulan pakar Pentadbiran Pengangkutan Sweden dalam laporan peringkat tinggi mereka, terutamanya yang berkaitan dengan kenderaan, teknologi dan infrastruktur yang lebih selamat.

Sehubungan itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan pihaknya sedang berusaha untuk mewajibkan sistem brek anti kunci (ABS) dipasang pada semua model motosikal baru khususnya untuk 150cc dan ke atas dalam tempoh dua tahun akan datang. Selain itu, pihaknya juga sedang melaksanakan program yang lebih tertumpu untuk keselamatan motosikal di bawah Program Penilaian Jalan Raya Malaysia yang turut memberi penekanan terhadap pembinaan lorong motosikal di jalan-jalan baru.

Tahniah dan terima kasih diucapkan di atas segala keprihatinan serta usaha yang sedang dilakukan demi nyawa para penunggang motosikal. Namun begitu, diharap pihak kerajaan janganlah lupa pada beberapa faktor lain yang boleh difikirkan demi keselamatan bersama, bukan sahaja penunggang motosikal.

Antaranya ialah, Penyempurnaan Laluan Motosikal Sedia Ada. Pantau laluan motosikal yang masih banyak yang tidak sempurna. Ada yang berpasir, berlopak, kedudukan laluan yang terpencil, berlumut, mudah banjir, gelap, separuh siap dan macam-macam lagi. Banyak kes kemalangan telah berlaku lebih-lebih lagi pada musim hujan dan lebih malang jika di waktu malam.

Jalan yang gelap, tidak diselenggara dengan baik mengundang bahaya. Apabila berlakunya kemalangan khususnya di waktu malam, keadaan lebih sukar kerana ada beberapa tempat yang agak jauh daripada laluan kenderaan 4 roda yang lebih ramai pengguna serta lebih cerah. Laluan yang agak terpencil seperti di Lebuhraya Guthrie contohnya, sangat merisaukan para penunggang apabila melalui lorong tersebut di sebelah petang hingga ke malam.

Giatkan Penerapan Cara Menunggang Selamat bermula di sekolah rendah. Kembalikan dan perbanyakkan program keselamatan serta klinik menunggang di institusi pendidikan secara berperingkat. Jemput mereka yang benar-benar layak untuk berkongsikan ilmu, pandangan dan nasihat. Kita boleh lihat sendiri, betapa ramai anak-anak termasuk ibu bapa yang menunggang di dalam pekan/bandar tanpa topi keledar.

Mungkin ramai yang 'tutup sebelah mata' kalau melihat orang menunggang di dalam taman perumahan atau dalam kawasan perkampungan tanpa topi keledar, tetapi kalau dah sampai masuk dalam bandar....?? Tak akanlah kita nak letakkan segala tanggungjawab ini pada pihak PDRM semata-matakan? Jadi... kita semua kena ambil peranan.

Dengan pendidikan yang betul, kita berharap para penunggang motosikal akan sentiasa mengenakan pakaian menunggang yang selamat. Anak-anak perlu diingatkan agar mementingkan untuk memakai jaket, seluar dan kasut yang sesuai. Jangan 'miss' pakai sarung tangan dan topi keledar yang benar-benar selamat.

Hal ini selari dengan cadangan yang pernah dikatakan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media di Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Pahang pada bulan Mac lalu. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa salah satu aspek penting adalah disiplin. Untuk itu, pendidikan harus diperbanyakkan, interaksi dengan penunggang motosikalnya juga perlu diperbanyakkan.

Kerjasama Pengeluar Motosikal: Pengeluar motosikal juga boleh bekerjasama dengan para pengedar untuk menganjurkan klinik keselamatan secara percuma atau pada harga yang minima kepada para pelanggan yang membeli sesebuah motosikal. Jadikannya sebagai tanggungjawab bersama. Bagi pengeluar yang sudah melakukannya, tahniah diucapkan.

Bukan Semua Salah Motosikal: Selain itu, harus juga diingat bahawa kes kemalangan yang melibatkan penunggang motosikal juga SERING berlaku atas kecuaian pengguna jalan raya yang lain. Kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah disebabkan pemandu kenderaan empat, enam, lapan atau 10 roda berlaku disebabkan penggunaan telefon pintar, pengaruh alkohol atau dadah.

Tidak kurang juga mereka yang 'suka' melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat, memandu melebihi had laju, masuk simpang membabi buta, keluar selekoh sesuka hati dan banyak lagi. Jumlah kemalangan yang disebabkan sikap buruk ini sangat banyak... adakah ia masih salah penunggang motosikal?

Itulah secebis perkongsian mengenai isu kemalangan motosikal dan masih terlalu banyak lagi usaha yang harus kita lakukan bersama-sama. Ia perlu masa, kebijaksaan, semangat dan modal. Untuk menikmati perjalanan yang selamat, ia perlu kerjasama daripada semua pihak dan didoakan dapatlah bermula dari peringkat yang sangat awal. “Lenturlah buluh biarlah dari rebungnya!” Semoga usaha dan doa kita semua dimakbulkan. Selamat menunggang. RR

Isu Pada

Ogos 2022

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambah Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Keselamatan Jalan Raya Tanggung Jawab Bersama

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Hakim Danish Gegarkan SIC. Nyaris Podium Di Laman Sendiri

Muhammad Hakim Danish Ramli membuktikan bahawa dirinya mempunyai semangat juang luar biasa apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2026 di tempat keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Model Baru

Yamaha YZF-R9 Tiba di Malaysia - RM68,000

HLYM secara rasminya melancarkan model supersport baharu iaitu YZF-R9.

Model Baru

Aveta Nova 250 G Elite Edition Diperkenalkan! Harga asas RM14,888

Aveta Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia menerusi pembukaan rasmi G Elite Motor – Aveta Elite Centre di Shah Alam, Selangor.

Warta Roda

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.