Ahli Kelab MV Agusta DiRai Di Hard Rock Cafe
Sejak pelancaran MV Agusta Malaysia pada Julai 2010 hingga kini, peningkatan dan sambutan peminat motosikal MV Agusta telah bertambah. Model-model baru juga telah banyak diperkenalkan seperti MV Agusta Brutale, F4, F3 800 yang dilancarkan sempena perlumbaan MotoGP di Sepang tahun lalu dan terkini, model Rivale 800 yang dijangka berada di pasaran Malaysia pada harga sekitar RM94,000 tidak termasuk cukai.
Dengan peningkatan jualan model-model terdahulu telah mendorong pihak MV Agusta Malaysia untuk menubuhkan sebuah kelab dan menggalakkan penglibatan ahli-ahli di dalam aktiviti yang dianjurkan. Walaupun pada skala yang kecil tetapi setiap ahlinya cukup dihargai.
Bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, seramai 50 orang terdiri daripada pengedar dan ahli kelab MV Agusta dari Lembah Kelang, Utara dan Pantai Timur tanahair telah diraikan dalam jamuan makan malam yang dikelolakan oleh En. Mark Lee Freitas, Pengurus Pemasaran MV Agusta Malaysia.
Sebagai acara kemuncak, sessi cabutan bertuah diadakan dengan hadiah boucer pembelian barangan MV Agusta bernilai RM5,000 sebagai hadiah utama. Majlis tersebut juga dihadiri oleh Dato’ Nik Izani Nik Ibrahim, Pengarah Mofaz Group dan Dato’ Chear Kin Keong, Pengarah Urusan Chear Motor.
Bagi tahun 2014, beberapa aktiviti telah dirangka bagi merancakkan lagi industri sukan permotoran tempatan. Menurut En. Mark Lee, besar kemungkinan Kejohanan Dunia Superbike akan diadakan buat julung kalinya di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan Jun 2014 nanti dan pastinya MV Agusta Malaysia akan turut terlibat memeriahkan lagi ‘perayaan istimewa’ tersebut.
Dengan penyertaan pelumba terhandal Roberto Rolfo dan Christian Iddon dalam kategori Supersport, MV Agusta adalah antara pesaing yang amat digeruni dalam kejohanan dengan pencapaian podium sebanyak tiga kali pada tahun 2013. Sama-sama kita nantikan ketibaan mereka ini nanti. RR


















