Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh negara menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada pertengahan September yang lalu. Acara anjuran Kawasaski Malaysia ini kembali buat kali kedua selepas mendapat sambutan menggalakkan menerusi penganjuran sulung di Jerantut, Pahang pada tahun lalu.


Bermula di Dataran Amanjaya Lawin, peserta perlu menempuh laluan sejauh 150km yang merangkumi denai hutan, cerun curam, jalan berbatu dan lintasan sungai. Cabaran ini menguji kemahiran serta kawalan motosikal setiap peserta terutama ketika berdepan permukaan laluan yang tidak rata. Sepanjang perjalanan, peserta turut dibantu oleh marshal, pasukan pemulihan motosikal serta petugas perubatan. Turut disediakan lokasi mengisi minyak yang ditetapkan sekitar 70 kilometer dari tempat permulaan.


Tahun ini, Kawasaki KLE500 menjadi antara tumpuan dengan penyertaan 23 pemilik model berkenaan. Wakil media automotif tempatan turut diberi peluang menguji keupayaan motosikal adventure kelas pertengahan itu dalam pelbagai keadaan laluan. Penganjuran ini juga menjadi platform untuk pemilik mengasah kemahiran menunggang, meningkatkan keyakinan dan berkongsi pengalaman bersama komuniti Kawasaki.


"Sambutan terhadap edisi pertama membuktikan penunggang tempatan mahukan lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran, meneroka laluan baharu dan mengeratkan hubungan sesama komuniti. Kawasaki Megatrail bukan sekadar acara tunggangan, malah memberi peluang kepada pemilik merasai sendiri keupayaan motosikal mereka dalam keadaan sebenar," kata Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, En. Roslan Roskan.


Selain cabaran off-road, para peserta turut menyertai aktiviti mencari 50 bendera Kawasaki yang disembunyikan di sepanjang laluan. Setiap bendera yang ditemukan boleh ditebus dengan wang tunai RM50. Tiga cabaran khas turut disediakan di mana 10 peserta terawal yang berjaya menyelesaikan kesemua cabaran membawa pulang hadiah misteri bernilai RM100 setiap seorang.


Acara ini turut menawarkan sebuah Kawasaki KLE500 baharu sebagai hadiah cabutan bertuah utama termasuklah hadiah lain yang menjadikan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM50,000. Acara turut dilengkapi jamuan makanan, kemudahan perkhemahan, sesi barbeku dan pengiktirafan kepada peserta yang berjaya menamatkan cabaran. MODENAS turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, petugas, penaja dan rakan strategik yang menjayakan acara antaranya termasuk ASMAX, GIVI, MAXXIS, Holeshot, Anak Rantau Garage, Cikgu Azizan dan Monster Energy Drink.

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 merupakan sebahagian daripada usaha MODENAS dan Kawasaki Malaysia untuk mengembangkan segmen motosikal adventure di Malaysia melalui aktiviti tunggangan sebenar dan penglibatan komuniti. Penganjuran ini juga memberi ruang kepada pemilik untuk meneroka kemampuan motosikal masing-masing, sama ada di jalan raya mahupun laluan off-road. RR


















