RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 5 Februari 2025

Honda CBR650R & CB650R E-Clutch Beri Kepuasan Menunggang

Seperti yang dikongsikan sebelum ini, pihak Boon Siew Honda (BSH) telah melancarkan dua model terbaru bagi segmen motosikal kelas pertengahan iaitu Honda CBR650R dan CB650R 2025 yang hadir dengan teknologi yang baru iaitu Honda E-Clutch.

Para pegawai tertinggi Honda dan tetamu kehormat melancarkan Honda CBR650R & CB650R E-Clutch.
Para pegawai tertinggi Honda dan tetamu kehormat melancarkan Honda CBR650R & CB650R E-Clutch.

Namun begitu, apakah sebenarnya E-Clutch ini? Macam-macam persoalan berputar-putar dalam kepala, mungkin sistem paling 'dekat' dengannya adalah seperti motosikal yang guna 'Klac Hidup'? Jawapannya.. ya! Sama tetapi tak serupa dan sistem ini jauh lebih advance. Apa pula gunanya sistem ini dipasangkan pada jentera berkuasa tinggi?

E-Clutch ialah teknologi kawalan elektronik yang mengawal operasi penggunaan klac secara automatik. Ini bererti, penunggang motosikal yang dilengkapkan dengan sistem ini boleh menukar gear tanpa perlu guna tuas klac. Sistem ini juga tidak seperti Quick Shifter yang masih memerlukan kita untuk menggunakan klac untuk gear 1 (permulaan) khususnya. Dengan E-Clutch, kita boleh menggunakan semua gear tanpa perlu gunakan tuas klac - macam motosikal biasa.

Dibangunkan berdasarkan konsep “Take You to the NEXT STAGE,” dicipta untuk memudahkan tunggangan (motosikal berkuasa tinggi), memberi keselesaan dan ketenangan fikiran.

Sesi tunggang uji pertama dilakukan di ruangan luas yang telah disediakan oleh pihak BSH. Terdapat lampu penanda 'E-Clutch' berwarna hijau pada panel meter. Apabila menyala, itu bermaksud sistem ini sedang beroperasi. Maka, selepas enjin dihidupkan, masuk terus Gear 1 (penunggang tak perlu tarik klac) dan terus pulas pendikit. Proses penambahan atau penurunan gear-gear seterusnya juga begitu. Memang mudah.

Oleh kerana sudah biasa menggunakan klac, ada seketikanya saya tertarik tuas klac. Adakah itu satu masalah? Jawapannya tidak sama sekali. Pergerakan dan penggunaan sistem transmisi 'bertukar' seperti motosikal superbike konvensional. Tarik klac...masuk gear, rem bagi meriah sikit! Apabila kita melepaskan tuas klac, sistem E-clutch akan diaktifkan semula. Kalaulah 'mati enjin' pula, masuk gear Neutral untuk aktifkan E-Clutch.

Dalam sesi ini, beberapa kali saya berhenti (0 km/j) dan memulakan semula pergerakan dalam beberapa gear berbeza. 'Start' jalan dari gear 6 pun boleh dan tidak ada gangguan langsung dari segi hantaran tenaga atau sebarang sentapan dalam kotak gear kedua-dua model ini. Pulas sahaja...Best betul!

Konvoi 'Ride & Connect (Mengelilingi Pulau Pinang)

Untuk merasai prestasi sebenar sistem E-Clutch ini di atas lebuhraya dan di jalanan biasa, pihak BSH telah memberi peluang buat para media untuk menikmati perjalanan sekitar 140 kilometer bermula dari ibu pejabat BSH di Simpang Ampat mengelilingi seluruh Pulau Pinang.

CEO BSH, En. Mitsuharu Funase hadir memeriahkan lagi konvoi.
CEO BSH, En. Mitsuharu Funase hadir memeriahkan lagi konvoi.

Konvoi lebih meriah dengan kehadiran CEO BSH, En. Mitsuharu Funase, Pengarah/Ketua Pegawai Penjualan & Pemasaran, En.  Kunitomo Asano dan Pengurus Kanan Pemasaran, En. Steven Chin beserta kakitangan BSH yang lain.

Dari kiri: En. Steven Chin & En. Kunitomo Asano melepaskan konvoi 'Ride & Connect.
Dari kiri: En. Steven Chin & En. Kunitomo Asano melepaskan konvoi 'Ride & Connect.
Krew marshal yang terdiri daripada kakitangan BSH.
Krew marshal yang terdiri daripada kakitangan BSH.

Dengan bantuan daripada dua pegawai polis trafik, pergerakan konvoi berjalan dengan lancar dan selamat. Setiap peserta konvoi juga ditekankan untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan menunggang dengan berhemah.

Perjalanan bermula dari jam 9.30 pagi dan tamat (kembali ke ibu pejabat BSH) sekitar jam 4.30 petang. Antara lokasi-lokasi pilihan pihak BSH ialah Gertak Sanggul. Kebun Durian 2 Acres Balik Pulau, Lebanon Restaurant, Batu Feringghi dan di 'Batu Cafe' Georgetown. Para media juga diminta menunggang uji kedua-dua model (CBR650R & CB650R).

Dari Simpang Ampat, konvoi menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (jambatan kedua) menuju ke Gertak Sanggul. Sistem E-Clutch ini memang memudahkan perjalanan, tanpa perlu kita bersusah payah menarik klac untuk menggunakan gear khususnya apabila tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

Apabila memecut di laluan lurus atau berada di laluan berselekoh, proses penukaran gearnya tidak jauh berbeza dengan sistem Quick Shifter. Namun begitu, dapat dirasa tuas klac sedang 'ditarik' sedikit setiap kali gear dimasukkan.

Ya... betullah tu, sistem klac sedang digunakan oleh 'tangan ghaib' secara automatik oleh sistem elektronik moden atau Motor Control Unit (MCU). Terdapat tiga mod untuk sistem ini iaitu Soft, Medium dan Hard... sudah tentu saya pilih Soft.

BIla masuk dalam bandar, 'keheroan' bigbike yang ada E-Clutch memang terserlah, 'confident' je nak mencelah-celah di laluan sesak dan sempit. Tak perlu nak fikir kawal klac, hanya tumpukan perhatian pada perjalanan. Dengan adanya sistem ini, penunggang baru juga akan mampu mengendalikan jentera berkuasa tinggi lebih mudah.

Kalau ada hajat nak matikan sistem ini juga mudah. Tarik sahaja tuas klac dan sistem transmisi CB650R dan CBR650R akan 'bertukar' kepada klac manual seperti model-model supersport atau superbike biasa.

Apabila melihat para pegawai polis trafik mengawal pergerakan konvoi kami. Saya membayangkan betapa mudahnya jika motosikal yang mereka gunakan itu turut dilengkapkan dengan sistem E-Clutch ini. Tangan kiri mereka akan bebas digunakan untuk memberi arahan kepada para pengguna jalan raya. Tak perlu tarik/lepaskan klac, jauh lebih mudah dan selamat. Menarik!!!

Itu baru di jalanan biasa, bagaimana pula jika kita tunggang CB dan CBR ini di litar? Apabila sudah tak perlu fikir tentang penggunaan/kawalan klac, kita boleh memberi sepenuh tumpuan penumpuan terhadap gaya tunggangan. posisi badan, pemilihan gear, jenis talaan dan sebagainya. Paling seronok apabila kita dapat menurunkan gear walaupun dalam keadaan pendikit sedang dipulas (on throttle) ... padu betul.

Penambahan sistem ini pada 2 model (CBR & CB) memang cukup memuaskan hati dan tidak mustahil pihak Honda akan melebarkan penggunaan sistem ini kepada model-model lain. Hasil kebijaksanaan para jurutera Honda yang sentiasa menghasilkan sistem-sistem baru untuk peningkatan prestasi menjadikan sesebuah motosikal itu lebih seronok, lebih mudah, lebih selamat dan lebih selesa.

Honda CBR650R ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Grand Prix Red dan Matte Gunpowder Black Metallic pada harga asas RM49,999. Sementara itu, Honda CB650R pula tiba dengan tiga pilihan warna menarik Matte Gunpowder Black Metallic, Matte Laurel Green Metallic dan Candy Chromosphere Red pada harga asas RM47,999.RR

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

Yamaha BLU NEXUS: Pengalaman Premium Dunia Yamaha

Model Kembara Mewah, Brixton K750GT Bakal Masuk ke Pasaran Negara

MFORCE Tawar Tiga Model Motosikal Buat JSPT PDRM Dalam Program Proof of Concept (PoC)

Mengapa VOGE SR450X Lewat? Ini Penjelasan VOGE Malaysia

Kisah Di Sebalik Penciptaan Honda CB1000F

Aveta Nova 200 Limited Edition Tiba ke Pasaran Negara - RM8,788

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Disyorkan untuk anda
Pandu Uji

KOVE 800X GT: Best Untuk Kembara...Syok Di Selekoh

Untuk model yang baru sahaja saya pick-up iaitu KOVE 800X GT, saya rasa lebih baik kalau dibawa keluar jauh. Bukan setakat pusing-pusing bandar.

Model Baru

APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Didi Group, pengimport dan pengedar tunggal Aprilia di Malaysia, memperkenalkan model istimewa Aprilia RS 457 GP Replica sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Oktober lalu. Lebih istimewa, majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran pelumba Aprilia Racing MotoGP, Marco Bezzecchi.

Warta Roda

Mengapa VOGE SR450X Lewat? Ini Penjelasan VOGE Malaysia

Menurut pihak MForce selaku pengedar rasmi jenama VOGE di Malaysia, kelewatan proses pemasangan model VOGE SR450X di Malaysia adalah disebabkan pihak VOGE telah membuat penambahbaikan ke atas bahagian tangki bahan api.

Warta Roda

Honda ADV160 RoadSync Kini Dengan Warna Perlumbaan Trico

Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan Honda ADV160 Trico Edition dengan Honda RoadSync, yang menampilkan corak warna merah, putih dan biru yang telah membawa semangat perlumbaan Honda sejak sekian lama.