RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Berita Kelab / 10 Disember 2020

Ride Santai KOG Gopeng 2020 Beriadah Sambil Beramal

KOG atau Kawasaki Owner Group telah menganjurkan konvoi santai ke Gopeng, Perak pada akhir Ogos 2020 yang lalu dengan penyertaan seramai 54 orang pemilik jentera Kawasaki pelbagai model dan kuasa enjin. Program riadah ini bermula di Tol Sungai Buaya yang dipilih menjadi tempat berkumpul dan bersarapan pagi yang ditaja oleh Roslida Caterer. Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan virus COVID-19, semua peserta diwajibkan untuk mengambil suhu badan sebelum memulakan perjalanan.

Miekawa dan Cipantos kemudiannya memberi taklimat ringkas mengenai aturcara program dan cara berkonvoi dengan berhemah. Sebelum 'tayar bergolek', acara penyerahan 'Vest Kawasaki' telah diadakan khusus untuk pembida tertinggi iaitu Tun Teja yang memiliki vest tersebut pada harga RM300. Semua hasil bidaan telah diserahkan kepada rumah anak yatim. Seperti biasa, konvoi KOG bergerak cukup lancar dengan bantuan 10 orang urusetia yang berpengalaman. Konvoi berhenti di R&R Tapah untuk menambah isi tangki dan berehat seketika.

Lebih kurang jam 10 pagi, konvoi tiba di Plaza Tol Simpang Pulai untuk berkumpul dengan rakan-rakan KOG dari Perak dan Kedah. Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Kellie's Castle. Istana ini cukup terkenal di daerah Batu Gajah. Ia dibina oleh seorang peladang getah terkemuka dari Scotland iaitu William Kellie Smith pada tahun 1905. Bangunan tiga tingkat ini dibina mengikut reka bentuk sebuah istana Moghul yang terletak di bandar Agra dengan membawa tukang binaan khas dari Madras.

Selepas menikmati makan tengahari di sebuah restoran di Simpang Pulai, program diteruskan ke Rumah Anak Yatim Darul Hikmah yang terletak di Gopeng. Hati yang keras akan menjadi lembut apabila dapat bertemu dan menyantuni para penghuni di rumah tersebut. Apa yang sedikit terkilan buat para peserta ialah peluang untuk membawa para pelajar bersiar-siar dengan motosikal terpaksa dibatalkan kerana pematuhan SOP PKPP. Harapnya adik-adik bersabar, ada banyak masa lagi. Kutipan sebanyak RM2,762 pemberian rakan-rakan KOG berjaya dikumpulkan dan telah diserahkan kepada Mudirnya sendiri iaitu Tuan Haji Jamal Din.

Konvoi kembali di jalanan menuju ke tempat penginapan iaitu di Kem Murni Gopeng, Kampung Jahang. Antara aktiviti yang ditawarkan di Kem Murni ialah Arung Jeram (water rafting), Flying fox, Water abseilling, Caving exploration, Jungle Tracking, Night walk, River tubing, menunggang basikal dan eksplorasi gua.

Oleh kerana hujan agak lebat, aktiviti flying fox terpaksa dibatalkan tetapi apabila cuaca hampir normal kembali, ramai yang terjun ke dalam sungai.

Acara pada malam hari dimulakan pada jam 8.00 malam dan sekali lagi dihoskan oleh Miekawa. Seperti penganjuran sebelum ini, aktiviti 'wajib' di majlis makan malam tentulah acara cabutan bertuah, karaoke dan sambutan harijadi. Acara kemudiannya disambung ke tepi sungai.... kali ini menu BBQ pula! Bagi ahli KOG yang jarang bertemu, inilah masa terbaik untuk mengeratkan silaturrahim di antara mereka.

Keesokan harinya para peserta berkumpul sejak dari awal pagi. Aktiviti pertama ialah water rafting yang benar-benar menguji daya tahan fizikal dan keberanian. Bagi pencinta alam, mereka menyertai aktiviti eksplorasi gua di Gua Tempurung. Sememangnya negeri Perak mempunyai banyak tempat-tempat menarik yang perlu dilawati dan diterokai. Sesiapa yang fobia dengan kegelapan atau nyctophobia boleh cuba atasi masalah ini dengan mengikuti arahan yang diberikan oleh petugas.

Lebih kurang jam 12.00 tengahari, rakan-rakan KOG telah bersiap sedia untuk pulang ke destinasi masing-masing. Walaupun masa yang diluangkan hanya seketika, ia sudah cukup untuk mengukuhkan erti persahabatan ahli KOG.

Dari Gopeng, jentera-jentera Kawasaki kembali berderum menuju ke lebuhraya PLUS dan berhenti di dua lokasi lagi iaitu di Restoran Adily untuk makan tengahari dan di R&R Ulu Bernam sebelum pulang ke destinasi masing-masing. RR

Isu Pada

Oktober 2020

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

Kembara Road Rider Crew Taiping 3.0 Sempena Ulang Tahun Kelab ke-4

H.O.G. Malaysia Sertai Tiga Ekspedisi Rentas Benua

RRCT/RRCSP & HRSKC Mulakan 2026 Dengan Konvoi Ke Hilir Perak

RSX-RS Crew Taiping Anjur Ride Penutup 2025

RSX-RS Crew Taiping Semarakkan Konvoi Berjiwa Honda ke Batu Kawan

Kembara RSX-RS Crew Taiping 2025 – Menjelajah Keindahan Pahang

Terengganu Gentleman Riders: Ride & Camp ke Lata Ulu Kasar

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Model Kembara Mewah, Brixton K750GT Bakal Masuk ke Pasaran Negara

Model kembara mewah, Brixton K750GT bakal masuki pasaran negara.

Model Baru

Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

Honda global melancarkan model serba baharu iaitu CRF1150L Africa Twin Enduro Sports.

Warta Roda

Yamaha XMAX 250 vs XMAX 300: Empat Media Kongsi Pengalaman

Kalau nak tahu sedap atau tidak sesebuah skuter, jangan tengok angka atas kertas saja. Jangan hanya sekadar membaca komen di sosial media. Jawapannya kena cari sendiri...kena rasai sendiri. Begitu juga dengan perbezaan antara dua skuter 'terhangat' di pasaran. Tak lain dan tak bukan... Yamaha XMAX 250 dan yang terbaru, Yamaha XMAX 300.

Warta Roda

MFORCE Tawar Tiga Model Motosikal Buat JSPT PDRM Dalam Program Proof of Concept (PoC)

Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce), telah menganjurkan Majlis Penyerahan Motosikal bagi Program Proof of Concept (PoC) kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), di ibu pejabat Mforce yang beroperasi di Valdor, Pulau Pinang.