RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Model Baru / 10 Mac 2014

YAMAHA EGO-S : Mesin Pilihan Warga Kota

Tiada yang lebih baik daripada bersenang-lenang di tengah-tengah kotaraya sewaktu orang lain penat berasak-asak bersama kenderaan masing-masing. Itulah kelebihan penunggang motosikal terutamanya berenjin automatik. Kita tidak perlu bersusah payah untuk menukar gear, pulas sahaja. Bentuknya moden, menarik dan dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terkini iaitu YM Jet-FI yang bukan sahaja berkuasa tetapi juga lancar dan menjimatkan.

Itulah dia skuter terbaru dari Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) iaitu Ego-S. Model baru ini ternyata meneruskan legasi model-model skuter Yamaha yang bukan sahaja berkuasa tetapi juga menawarkan pengendalian yang mudah dan mampu diselenggara oleh semua jenis penunggang. Sememangnya segmen motosikal automatik semakin mendapat sokongan daripada pengguna motosikal di seluruh negara sekarang ini.

Dalam keluarga Ego, terdapat dua varian iaitu model S yang bersesaran 114cc dan model LC pula menggunakan enjin berkapasiti 125cc. Ternyata sebuah skuter yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api amat dialu-alukan kerana ia jimat petrol, lebih bersih dan lebih lancar. Comel…itulah tanggapan pertama seawal kita melihat model ini sewaktu ia dilancarkan.

Tarikan utama model ini datangnya daripada bahagian hadapan yang jelas sangat berbeza berbanding model sebelum ini. Lampu utama Ego-S baru ini besar, ia bukan sahaja mampu memberikan pencahayaan yang terang tetapi juga memudahkan kita dilihat dari hadapan dalam semua situasi. Turut dipasang bersepadu dengan lampu utama ialah lampu isyarat yang juga amat terang suluhannya.

Ruang antara pelana dan bahagian hadapan tidak terlalu luas dan tidak juga terlalu sempit. Ia cukup sesuai untuk penunggang yang mempunyai ketinggian di bawah 170cm – kalau lebih tinggi, bahagian lutut mudah tersangkut. Di bahagian depan dilengkapkan dua ruang mengisi barangan kecil yang boleh mengisi sebotol air, duit syiling atau gula-gula. Panel meter Ego-S ringkas tetapi cukup berguna. Satu meter analog yang menunjukkan kadar kelajuan, tahap bahan api, lampu tinggi, lampu pemberi isyarat, jarak kelajuan dan lampu sistem pancitan bahan api.

Ruang bawah pelana model ini cukup dalam untuk kita meletakkan barang yang bersaiz sederhana seperti pakaian hujan, alatan membaiki, pam kaki kecil atau barangan yang dibeli di pasar. Sayangnya ruang barang yang terhad ini tidak membolehkan kita menyimpan topi keledar – kalau tidak pasti lebih baik. Apa pun, ruang barang seperti ini pastinya lebih baik terutama sekali buat penunggang wanita yang saban hari menjadi mangsa ragut. Dengan menyimpan barang ke dalam ruang yang disediakan, kita terhindar daripada risiko itu.

Menghidupkan enjin yang menggunakan sistem pancitan bahan api memang mudah tidak kiralah sama ada dengan menggunakan penghidup elektrik atau pun kaedah enjutan. Putaran enjin empat lejang SOHC model ini memang lembut dan segar. Tarik tongkat, pulas pendikit….. berderum kita meluncur membelah angin. Kelancarannya memecut melupakan kita bahawa ia menggunakan tali sawat sebagai pacuan akhir.

Dalam kelajuan 30-40km/j, kita sukar untuk membezakan kelancaran enjin pancitan bahan api ini dengan enjin biasa (karburetor) tetapi jika pendikit dipulas dengan lebih cepat dan lebih garang, barulah kita dapat menikmati kadar pembakaran bahan api yang efisyen berjaya menjadikan tunggangan lebih lancar dan laju. Enjin baru ini menawarkan kuasa 5.8kW pada 8,500rpm dengan kuasa tork 8.6Nm pada 5,500rpm. Jika kita guna pendikit dengan tepat, Ego-S ini mudah meninggalkan para pencabarnya yang lain apabila berada di lampu isyarat.

Ego-S yang seberat 94kg ini seronok dipacu kerana ia cukup ringan, mudah untuk kita mengubah kedudukan motosikal ke kiri atau ke kanan. Hayun sahaja, skuter ini akan mengikut segala perintah dengan kemas dan meyakinkan walaupun dalam kelajuan 80-90km/j. Dengan rekabentuk model ini yang ramping, kita mudah menyelit dan meninggalkan kesibukan kota.

Jalan-jalan di Kuala Lumpur kini lebih besar, baik dan cantik. Ini juga peluang untuk kami menguji kepantasan sebenar Ego-S ini dengan kelajuan maksimum 100km/j. Berbanding dengan penunggang moped atau streetbike, kaki pemilik skuter tersorok di belakang fairing hadapan dan ini adalah satu kelebihan jika menunggang di dalam hujan. Seluar kita tidak akan sebasah mereka yang menunggang motosikal yang lain.

Untuk menyusuri jalan-jalan berselekoh, kelajuan paling ideal ialah sekitar 70-80km/j. Kerangka jenis tiub keluli jelas memainkan peranan penting agar kita dapat berada di setiap selekoh bukan sahaja dengan tepat tetapi juga kemas dan selamat. Tidak kira sama ada menunggang bersendirian atau pun berdua, Ego-S berjaya masuk/keluar selekoh dengan kemas – tanpa sebarang gangguan.

Apa yang perlu difikirkan oleh pihak Yamaha ialah saiz cermin sisi yang agak kecil. Ia mungkin tidak memberikan masalah jika menunggang di kawasan perumahan tetapi di dalam bandar atau di atas lebuhraya? Ia memang amat penting terutamanya ketika kita ingin membuat pintasan.

Walaupun sebuah mesin automatik tidak mempunyai brek enjin sehebat motosikal yang mempunyai sistem gear tetapi penggunaan brek yang betul dan pemilihan kelajuan yang tepat turut memberikan kepuasan apabila kita bermain di jalan-jalan berselekoh. Ego-S ini dilengkapi dengan brek hadapan jenis cakera dan brek jenis gelendong di belakang yang cukup efisyen. Jalan-jalan berdebu langsung tidak melengahkan perjalanan kami kerana tayar-tayar skuter ini menggigit permukaan jalan dengan baik sekali.

Keseronokan menunggang skuter ini bukan sahaja boleh kita nikmati di waktu siang malah di malam hari juga kerana lampunya cukup terang - tidak keterlaluan kalau kami katakan suluhan hampir menyamai lampu sebuah motosikal berkuasa tinggi. Itulah kehebatan teknologi! Jika menunggang di lebuhraya atau di dalam kampung, sinaran yang terpancar menerusi lampu ini memberikan kita kemampuan untuk melihat apa juga bahan berbahaya yang berada di atas jalan.

Semakin banyak kawasan bermotosikal telah disediakan dan ianya satu langkah bijak bagi mengelakkan kemalangan di kalangan pengguna motosikal daripada terus berlaku. Sayangnya masih terdapat beberapa kawasan yang sering dinaiki air, berlaku kes-kes samun dan permukaan jalan yang tidak memuaskan. Di harap pihak berwajib akan menangani masalah tersebut kerana kebanyakan penunggang motosikal yang menggunakan lorong ini terdiri daripada mereka yang bekerja siang, malam, pagi dan petang.

Dengan isi tangki penuh lima liter, kita boleh bergerak lebih kurang sejauh 110 kilometer. Jimat… itulah kelebihan motosikal yang menggunakan sistem pancitan bahan api – ia terbukti lebih menjimatkan. Ini juga sebuah mesin yang praktikal untuk mereka yang sedang menimba ilmu di sekolah mahu pun di pusat-pusat pengajian tinggi. Ego-S baru ini ditawarkan pada harga RM4,918 dengan empat pilihan warna iaitu hitam, biru, merah dan putih. Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang. RR

Isu Pada

Mac 2014

Spesifikasi

Enjin4--lejang, 2 injap, sistem penyejuk udara, SOHC
Isipadu114
Gerek & Lejang50mm x 57mm
Nisbah Mampatan9.3:1
Kuasa Maksimum5.8kW pada 8,500rpm
Tork Maksimum8.6Nm pada 5,500rpm
Isi Tangki5 liter
Tinggi Pelana745 mm
Berat94kg
PengeluarHong Leong Yamaha Motor

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

CFMOTO 500SR Dilancarkan - RM29,988

Yamaha YZF-R9 Tiba di Malaysia - RM68,000

Model Kembara Mewah, Brixton K750GT Bakal Masuk ke Pasaran Negara

KTM 1390 Super Adventure Tampil Dengan Tiga Varian untuk Pasaran Negara - Bermula RM144,000

KTM 990 RC R - Diinspirasikan Jentera Lumba KTM di MotoGP

Disyorkan untuk anda
Model Baru

KTM 1390 Super Adventure Tampil Dengan Tiga Varian untuk Pasaran Negara - Bermula RM144,000

KTM Malaysia secara rasmi memperkenalkan model adventure yang menawarkan tiga varian iaitu 1390 Super Adventure R, S dan S EVO.

Warta Roda

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh negara menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada pertengahan September yang lalu.

Model Baru

Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

Ducati terus menhangatkan pasaran superbike dengan melancarkan Panigale V4 S 2027, sebuah jentera sport yang menggabungkan enjin Desmosedici Stradale V4, Sistem Saspensi Elektronik Öhlins dan rekabentuk aerodinamik yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan.

Warta Roda

Mengapa VOGE SR450X Lewat? Ini Penjelasan VOGE Malaysia

Menurut pihak MForce selaku pengedar rasmi jenama VOGE di Malaysia, kelewatan proses pemasangan model VOGE SR450X di Malaysia adalah disebabkan pihak VOGE telah membuat penambahbaikan ke atas bahagian tangki bahan api.