RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Sudut RR / 8 Jun 2018

Nikmat Mengembara Ke Luar Negara

Setiap pencinta motosikal pasti menyimpan hasrat dan keinginan untuk menunggang ke luar negara. Ia adalah lumrah manusia untuk melihat dunia luar yang pastinya mempunyai banyak perbezaan berbanding apa yang kita lazim lakukan dan amalkan saban hari. Ini termasuklah corak kehidupan, budaya, agama, bahasa, rekabentuk pembinaan dan banyak lagi.

Dua puluh tahun yang lalu, hanya ada segelintir penunggang motosikal yang mampu ke negara-negara luar atas beberapa sebab. Antaranya ialah kemampuan untuk memiliki jentera yang sesuai, kadar kemasukan jentera pengembaraan yang terhad ketika itu, keadaan jalan yang masih belum sempurna, kerjasama diplomatik di antara negara-negara yang tidak seakrab seperti sekarang ini dan banyak lagi. Walaupun begitu, kita pastinya amat mengagumi mereka yang pulang ke tanahair dengan membawa 1001 cerita mengenai perjalanan dan kisah mereka.

Ternyata keadaan kini jauh berbeza. Semakin ramai warga Malaysia yang telah bermotosikal hampir ke seluruh dunia dengan menunggang pelbagai jenis motosikal daripada 125cc hinggalah 1400cc. Ternyata saiz enjin tidak penting lagi. Mental, fizikal, dokumentasi, ilmu, modal dan kajian tentang perjalanan yang dipilih itu adalah yang utama demi memastikan perjalanan itu berjaya atau tidak.

Negara-negara seperti Singapura, Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja dan Indonesia kini sudah boleh kita terokai dengan mudah (dengan dokumentasi yang lengkap). Saban hari kita dapat melihat para penunggang motosikal pelbagai jenis dan saiz enjin berkunjung ke sana. Bagi mereka yang mempunyai lebih masa dan lebih modal, jarak pengembaraan dapat ditambah ke negara-negara Asia Tengah, Asia Timur, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Tengah malah hingga ke benua Afrika.

Apa yang diharapkan ialah setiap pengembara motosikal dapatlah membawa pulang pengalaman mereka agar dapat dikongsi dan dipelajari khususnya oleh generasi muda. Bagi mereka yang pernah mengembara ke negara-negara yang kadar ekonomi dan pembangunannya masih jauh ketinggalan, boleh dikongsi kesusahan masyarakat di sana bersama keluarga agar anak-anak kita sentiasa bersyukur dengan segala apa yang dimiliki. Seterusnya membakar semangat untuk cemerlang dalam pendidikan demi memartabatkan bangsa dan negara.

Tidak terkecuali untuk berkongsi dan dipraktikkan segala nilai-nilai murni yang dimiliki oleh sesetengah masyarakat untuk mempertingkatkan kualiti diri kita. Contohnya nilai tinggi disiplin, penjagaan kebersihan, kemesraan, kejujuran, rendah diri, bantu membantu, mengutamakan pengembara yang kesempitan, saling mempercayai dan banyak lagi.

Pastinya mereka yang pernah ke Jepun akan mengagumi kejujuran dan kebersihan masyarakat di sana. Kita juga boleh mempelajari sesuatu yang sangat berharga daripada beberapa negara di Amerika Tengah di mana pihak kerajaan dan penduduk tempatan bersedia bekerjasama untuk terus memelihara bangunan atau tempat bersejarah yang berusia ribuan tahun supaya terus dapat dilihat oleh manusia generasi kini dan akan datang.

Selain menawarkan keajaiban struktur pembinaan dan peradaban kuno untuk tatapan manusia kini, lokasi-lokasi ini turut menjadi tempat para penduduk setempat memajukan diri menerusi pelbagai jenis perniagaan dan perkhidmatan seperti rumah tumpangan, kedai cenderahati, restoran makanan tempatan, pembantu pelancong dan sebagainya.

Malaysia juga memiliki khazanah yang sangat bernilai dan pastinya dengan melipat gandakan usaha pemeliharaan dan mencantikkan lagi lokasi-lokasi ini, ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan juga menjadi bertambah baik.

Apabila berada di negara asing, secara tidak langsung kita akan lebih menghormati dan lebih bertolak ansur dengan orang di sekeliling. Dengan mengekalkan sifat murni tersebut, perjalanan kita di sana lebih teratur, lebih selamat dan lebih selesa. Biarlah ia berterusan walaupun sudah melepasi sempadan negara, jangan pula ‘tertinggal’ sifat tersebut di sana. Jangan pula bila ‘dah’ balik, bertukar jadi pentingkan diri sendiri dan ego.

Teruskan pengembaraan dengan selamat dan menghormati budaya serta amalan masyarakat setempat. Bawa pulang sesuatu yang berharga untuk kita sama-sama hargainya. Jauh perjalanan, luas pemandangan dan banyak pengalaman. Ingatilah peribahasa ini.. “Bawa rasmi padi, makin berisi makin tunduk... Jangan ikut rasmi lalang, makin tumbuh makin menjulang.”

Kepada mereka yang sudi berkongsi pengalaman mengembara dengan para pembaca RR selama ini, kami ucapkan ribuan terima kasih. Teruskan pengembaraan dan moga-moga segala impian anda tercapai dan menjadi inspirasi buat kita semua.


Selamat menunggang. RR

Salam Mesra,
Khairil Azuan
Ketua Pengarang

Isu Pada

Jun 2018

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambah Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Disyorkan untuk anda
Model Baru

KTM 1390 Super Adventure Tampil Dengan Tiga Varian untuk Pasaran Negara - Bermula RM144,000

KTM Malaysia secara rasmi memperkenalkan model adventure yang menawarkan tiga varian iaitu 1390 Super Adventure R, S dan S EVO.

Model Baru

KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

KTM 790 Duke 2027 dikatakan akan di bawa masuk ke pasaran negara tahun hadapan.

Warta Roda

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh negara menyertai Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada pertengahan September yang lalu.

Model Baru

Global: Honda CBR500R FOUR Serba Baru Diperkenalkan

Honda Eropah baru sahaja memperkenalkan model sport baru iaitu CBR500R FOUR yang kini hadir dengan enjin 4 silinder sebaris dan sistem E-Clutch yang sudah pasti menjanjikan kemantapan tunggangan di jalanan biasa, laluan berselekoh mahupun di dalam litar.