RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Roda / 16 Mac 2020

Borneo Blowpipe Run Challenge Bersama CFMOTO 650MT

Apa itu Borneo Blowpipe Run Challenge (BR)? Bagi rakan-rakan yang kurang mengenali acara ini, ia adalah satu cabaran bermotosikal yang perlu dilakukan oleh penunggang solo atau berkumpulan dari (Tugu Kucing) Kuching, Sarawak dan berakhir di Tugu Todak yang terletak di bandar Kota Kinabalu, Sabah. Syaratnya setiap peserta perlu melengkapkan perjalanan sejauh 1,300km dalam tempoh 24 jam atau dalam tarikh yang sama (sebelum jam 12.00 tengah malam hari berikutnya).


Acara ini mula diperkenalkan secara rasminya di Borneo pada 2011 yang lalu oleh En. Alex Wong, pengembara motosikal yang cukup berpengalaman. Sehingga kini, hampir 200 orang penunggang motosikal dari pelbagai negara telah berjaya melengkapkan cabaran ini. BR tidak menjanjikan sebarang hadiah dan habuan kebendaan tetapi ia adalah kepuasan diri setiap peserta dalam menghadapi cabaran ini yang memerlukan ketahanan mental, fizikal dan kemahiran menunggang.

Tiada penganjur rasmi. Tetapi terdapat anggota BR Komuniti yang terdiri daripada peminat permotoran seluruh Borneo dengan founder, dan beberapa ahli pioneer dari setiap negeri/negara (Sarawak, Sabah dan Brunei) bertindak sebagai pemantau dan record keeper. Setiap percubaan yang dibuat adalah dengan kos, penjagaan keselamatan dan tanggungjawab sendiri. Ahli komuniti akan mengikuti perjalanan cabaran yang dibuat dan akan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan dan berdekatan. Adalah menjadi tanggungjawab peserta itu untuk mengemaskini lokasi terkini apabila berhenti di mana-mana hentian supaya ahli komuniti BR berdekatan sentiasa bersedia.

Peserta sendiri memilih waktunya, dan mengumumkan di dalam laman FB Borneo Motorcycle Group untuk semua ahli komuniti ambil maklum. Setiap perkongsian lokasi dan maklumat perjalanan akan dikemaskini dalam posting yang sama untuk diikuti oleh semua ahli.


Saya cuba membuat persediaan mental kerana cabaran menunggang secara berterusan dalam tempoh 24 jam ini tidak pernah saya lakukan. Saya perlu mengurangkan apa-apa perkara yang mungkin boleh mengganggu tumpuan terutama sekali semasa perjalanan malam. Lampu perlu terang kerana banyak tempat tidak mempunyai lampu. Saya juga perlu sediakan dokumen-dokumen kenderaan dengan lengkap termasuklah pas kenderaan ke negara Brunei agar perjalanan tidak terganggu.


Sebagai pencinta motosikal dan dunia pengembaraan motosikal, saya sememangnya ingin benar menyahut cabaran ini dengan menggunakan sebuah jentera CFMOTO 650MT. Antara sebab utama ialah untuk mendapatkan Golden Patch, ingin melihat keupayaan jentera dan diri sendiri. Saya bertolak pada jam 12.10 malam, Khamis, 5 Disember 2019. Oleh kerana para peserta bebas untuk memilih laluan perjalanan untuk lengkapkan cabaran ini, saya memilih untuk menggunakan separuh jalan Pan Borneo (Kuching – Selangau manakala separuh lagi dengan melalui jalan Pesisir (Selangau – Miri).

Dalam enam jam pertama perjalanan, tiada apa yang dapat saya lihat disebabkan hari masih gelap. Udara dingin memberi kesegaran dan ini penting agar tumpuan terus kekal di tahap terbaik. Kegelapan malam saya harungi dengan cekal. Menjelang awal pagi, matahari mula menjengukkan diri, serta merta dunia mula bersinar dengan hebat dan cantik sekali. Saya meneruskan perjalanan untuk enam jam lagi dengan melalui Pan Borneo hanya disajikan pemandangan bukit bukau dan hutan belantara.


Melalui beberapa pekan kecil, saya hanya singgah di Bandar Sarikei untuk bersarapan di salah satu tempat terkenal dengan roti bakar dan air kopinya (Kedai Aik Seng). Perut sudah diisi, saya kembali ke atas jentera. Kondisi jalan yang kebanyakannya masih dalam pembinaan untuk projek Pan Borneo menyebabkan banyak laluan perlu dilencongkan. Apabila merentasi jalan rosak dengan lubang-lubang, lumpur dan batu, ia sememangnya memperlahankan rentak perjalanan.

Cabaran lain yang perlu difikir dan dirancang dengan bijak untuk mengisi minyak. Stesen minyak 24 jam hanya terdapat di bandar-bandar utama sahaja manakala stesen petrol lain akan buka hanya selepas jam 6.00 pagi. Ada pula yang ditutup selepas 6.00 petang. Apabila menjelang malam, ketiadaan lampu jalan sepanjang laluan ternyata menyukarkan pergerakan. Perjalanan akan bertambah payah apabila hujan kerana keadaan jalan yang semakin licin.


Di sebelah petang, saya menggunakan laluan persisiran pantai yang menyajikan pemandangan tepi lautan dan ladang kelapa sawit. Memang cantik negara kita. Di sana (Sabah dan Sarawak), malam lebih cepat dan pada enam jam terakhir, saya sempat melihat pemandangan bandar Miri, Brunei, Limbang, Lawas dan bandar Kota Kinabalu. Tidak lama kemudian, matahari memisahkan diri dan saya diuji dengan keadaan alam yang gelap bercampur dengan cuaca mendung hujan.

Laluan yang saya pilih majoritinya landai dan lurus, dengan beberapa tempat yang terdapat bukit tinggi (Bukit Bangunan) dan jalan bengkang bengkok di Limbang Lawas sebelum memasuki Sabah. Ketika berada di daerah Bangowan, Sabah, hujan yang sangat lebat telah turun dan menenggelamkan jalan raya.


Saya harus merancang sendiri jadual hentian untuk mengisi minyak dan makan. Ini amat penting agar kita tidak mudah membuang masa. Saya hanya berhenti makan dan berehat sepantas yang mungkin (kecuali waktu sarapan kerana letih mengantuk dan lapar). Tiada makanan berat. Kebiasaannya roti pau atau coklat dengan air minuman isotonik, mineral dan air pembekal tenaga.


Saya berjaya melengkapkan cabaran ini dengan jayanya apabila sampai ke Tugu Todak, Kota Kinabalu pada jam 11.20 malam dalam tempoh masa 23 jam 10 minit. Bukan catatan masa yang terbaik tetapi cukup untuk memenuhi syarat. Jujurnya, saya hampir berputus asa pada 200 kilometer terakhir kerana hujan cukup lebat menyebabkan pandangan mata berkabus lalu tidak dapat melihat dengan jelas. Demi memikirkan betapa penatnya untuk menempuh perjalanan yang sama di kemudian hari, saya gagahkan untuk lengkapkannya. Syukurlah saya membuat keputusan yang bijak.

Bagi mereka yang sukakan aktiviti pengembaraan, acara ini boleh anda sertai demi mencabar diri dan kepuasan menunggang. Antara tips yang boleh dikongsi ialah dapatkan rehat yang secukupnya, lebih baik bertolak lambat dengan rehat yang mencukupi. Jangan bertolak awal sedangkan keadaan diri masih belum bersedia sepenuhnya. RR

- Ismail

Isu Pada

Mac 2020

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

Yamaha BLU NEXUS: Pengalaman Premium Dunia Yamaha

Model Kembara Mewah, Brixton K750GT Bakal Masuk ke Pasaran Negara

MFORCE Tawar Tiga Model Motosikal Buat JSPT PDRM Dalam Program Proof of Concept (PoC)

Mengapa VOGE SR450X Lewat? Ini Penjelasan VOGE Malaysia

Kisah Di Sebalik Penciptaan Honda CB1000F

Aveta Nova 200 Limited Edition Tiba ke Pasaran Negara - RM8,788

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Lebih Meriah... Lebih Mencabar

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

SIC Sasar 200,000 Pengujung Tahun Ini, Hakim Danish Bakal Menjadi Tumpuan di GP Malaysia

PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 bakal kembali berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

Model Baru

Global: Honda CBR500R FOUR Serba Baru Diperkenalkan

Honda Eropah baru sahaja memperkenalkan model sport baru iaitu CBR500R FOUR yang kini hadir dengan enjin 4 silinder sebaris dan sistem E-Clutch yang sudah pasti menjanjikan kemantapan tunggangan di jalanan biasa, laluan berselekoh mahupun di dalam litar.

Dari Litar

Hakim Danish Gegarkan SIC. Nyaris Podium Di Laman Sendiri

Muhammad Hakim Danish Ramli membuktikan bahawa dirinya mempunyai semangat juang luar biasa apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Malaysia 2026 di tempat keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Model Baru

Ducati Panigale V4S 2027: Lebih Moden & Lebih Berkuasa

Ducati terus menhangatkan pasaran superbike dengan melancarkan Panigale V4 S 2027, sebuah jentera sport yang menggabungkan enjin Desmosedici Stradale V4, Sistem Saspensi Elektronik Öhlins dan rekabentuk aerodinamik yang diinspirasikan daripada dunia perlumbaan.