RodaRoda
☰
Isu Terkini

Oktober 2024

Sudut RR / 10 Januari 2015

Penamatan Subsidi Minyak Satu Rahmat

Di penghujung bulan November lalu, kerajaan telah mengumumkan penamatan skim subsidi untuk minyak petrol dan diesel di negara kita, berkuatkuasa dari 1hb Disember 2014. Penamatan subsidi ini merupakan titik akhir dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan peruntukan dalam bajet tahunan yang digunakan untuk pembayaran subsidi minyak.

Dengan penamatan subsidi ini, harga petrol RON95 dan diesel akan dikendalikan dengan cara yang sama seperti RON97, iaitu melalui sistem “managed float”, yang menentukan harga jualan di pam stesen minyak berdasarkan harga pasaran global minyak mentah. Ini bermakna, jika harga pasaran global minyak mentah naik semula, maka harga minyak di pam stesen minyak juga akan naik - tanpa apa-apa tindakan daripada kerajaan untuk melembutkan atau mengurangkan kesan kenaikan harga itu ke atas pengguna.

Pengaturan masa penamatan subsidi ini boleh dikatakan sesuai sekali kerana harga pasaran global minyak mentah sedang di paras yang sangat rendah, sehinggakan harga petrol RON95 turun 4 sen di ketika subsidi ditamatkan, dan RON97 pula turun 9 sen. Akan tetapi, kerana subsidi diesel lebih tinggi sebelum ini, harga diesel telah naik sebanyak 3 sen.

Pemberian subsidi secara amnya bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat apabila berhadapan dengan kos sara hidup yang mencabar keupayaan mereka untuk mengatasinya. Akan tetapi, perlaksanaan subsidi sama ada untuk minyak petrol, minyak masak, gula, tepung atau selainnya mempunyai satu kelemahan yang amat ketara - ianya lebih memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi berbanding dengan yang berpendapatan rendah.

Ketidakseimbangan ini senang digambarkan bagi subsidi petrol jika dibandingkan dengan subsidi lain. Sebagai contoh, hanya mereka yang berpendapatan tinggi yang mampu membeli kereta-kereta mewah dengan enjin yang bersaiz besar, yang tentunya mempunyai kadar penggunaan petrol yang lebih tinggi. Manakala kalangan berpendapatan rendah menggunakan kereta berenjin kecil, atau lebih kerap lagi, menunggang motosikal.

Seseorang itu tidak perlu menjadi ahli sains dan matematik tersohor untuk mengetahui bahawa kadar penggunaan petrol untuk motosikal (sebesar mana pun) adalah lebih rendah daripada kereta mewah (yang seefisien mana pun). Maka untuk jumlah perjalanan yang sama, mereka yang menggunakan motosikal sama ada atas pilihan sendiri mahupun berdasarkan kemampuan, kurang menggunakan petrol, sekaligus kurang disubsidikan berbanding dengan yang memandu kereta mewah.

Malah, ada kajian daripada The International Monetary Fund (IMF) yang menyatakan bahawa golongan berpendapatan 20% tertinggi di sesebuah negara yang mengamalkan subsidi minyak petrol mendapat hingga lebih 6 kali manfaat dari subsidi tersebut berbanding dengan golongan berpendapatan 20% terendah.

Dari itu, dengan penamatan subsidi ini, wang yang tidak digunakan untuk pembayaran subsidi petrol boleh disalurkan kepada keperluan lain seperti pendidikan, pengangkutan awam, perumahan mampu-beli dan sebagainya. Selain daripada itu, kerajaan juga boleh menyalurkan pembiayaan pertolongan secara langsung kepada yang memerlukan. Malah, satu cara di mana ini sedang dilaksanakan ialah melalui program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

Atas nota yang lain pula, secara idealnya penamatan subsidi petrol (dan diesel) ini dikembarkan dengan pengurangan cukai import dan eksais ke atas kenderaan. Ini adalah supaya bagi pembeli kenderaan, beban kos pemilikan tidak bertambah dengan kehilangan subsidi, dan walaupun kutipan hasil kerajaan bagi cukai-cukai kenderaan berkurang, ianya diimbang balik kerana tiada keluaran untuk subsidi.

Selain daripada itu, kita cukup maklum bahawa harga kenderaan di negara-negara Eropah adalah lebih murah berbanding dengan di Malaysia. Ini adalah kerana struktur percukaian di sana lebih menumpukan kepada sistem percukaian “progresif”, yang mana mereka yang berkemampuan dikenakan cukai yang lebih. Oleh itu, walaupun cukai ke atas kenderaan adalah sedikit, cukai untuk petrol dan diesel pula diwujudkan. Maka dengan itu, pengguna yang menggunakan lebih petrol akan membayar cukai yang lebih kepada kerajaan.

Bayangkanlah, golongan yang memandu Ferrari, Bentley, Hummer, Jaguar, Aston Martin dan sebagainya akan membayar lebih cukai berbanding dengan kita yang menunggang motosikal. Ini membuat beban yang ditanggung tersebar dengan lebih sekata.

Tetapi di Malaysia, mungkin kita belum bersedia sepenuhnya untuk ke arah itu, di mana cukai eksais dan import dikurangkan, sementara petrol dan diesel pula dikenakan cukai -- walaupun seperti yang kita maklum, kerajaan telah memutuskan bahawa petrol RON95 dan diesel akan dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) apabila ia mula berkuatkuasa April ini manakala RON97 pula tidak dikecualikan daripada cukai.

Ini adalah kerana kita sebenarnya telah biasa dengan kehadiran subsidi untuk pelbagai barangan seharian dan pengurangan serta penamatan subsidi-subsidi ini membangkitkan reaksi spontan yang berbentuk kemarahan, keresahan serta kebimbangan atas kesan kepada kos sara hidup kita.

Akan tetapi, jika disalurkan dengan betul, dan jika dikendalikan dengan telus dan amanah, penjimatan oleh kerajaan yang bebas daripada beban subsidi boleh memberikan manfaat yang meluas untuk jangka masa yang panjang. Ianya perlu dilihat sebagai satu rahmat, dan sebagai satu bukti bahawa Malaysia dan rakyatnya semakin matang dan maju. Dari segi itu, penamatan subsidi untuk petrol dan diesel ini haruslah dipandang dengan positif.

Pengumuman: Syarikat Bayu Enterprise kini dikenali sebagai Bayu D Enterprise Sdn Bhd bermula Januari 2015. Namun begitu, para petugas dan pihak pengurusan masih kekal dan tidak berubah.

Akhir kata, kami ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua warga pembaca kami. Terima kasih atas sokongan yang diberikan selama ini. Semoga kita akan terus bersama untuk bertahun-tahun yang mendatang, in syaa Allah. RR

Oleh: Dr Yusseri

Isu Pada

Januari 2015

Popular

  • Yamaha Kali Ini Lebih Agresif Dengan RW700

  • Model Baru

    KTM 790 Duke 2027 Tampil Dengan Beberapa Pembaharuan

  • Model Baru

    Honda CRF1150L Africa Twin Enduro Sports Diperkenalkan

  • Warta Roda

    Yamaha BLU Universe Pertama Dibuka di Serdang

  • Model Baru

    APRILIA RS 457 GP Replica Dilancarkan. Harga RM35,900

Artikel berkaitan

Silau Akibat Lampu LED? Ramai Luahkan Perasaan yang Sama

5 Sebab Kenapa Tayar Slick tidak Sesuai untuk Jalanraya

Kematian Penunggang Jalan Raya Kian Bertambah Salah Siapa?

Motosikal Kian Moden, Tabiat Menunggang Kekal Tak Berubah

Menghadapi Hari Dengan Penuh Cekal... Selamat Tahun Baru 2023!

Hukuman Lebih Berat Menanti Pelumba Haram

Hasrat Mengurangkan Kadar Kemalangan Motosikal Perlu Kesedaran

Saranan Haramkan Jualan Kapcai Prestasi Tinggi - Ketua Polis Negara

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Yamaha BLU NEXUS: Pengalaman Premium Dunia Yamaha

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) terus memperkukuhkan kedudukannya dalam industri motosikal Malaysia menerusi pengenalan Yamaha BLU Nexus, sebuah pusat pameran utama (flagship showroom) yang terletak di Kompleks Hong Leong Yamaha, Sungai Buloh, Selangor.

Model Baru

CFMOTO 500SR Dilancarkan - RM29,988

CFMOTO Malaysia melancarkan 500SR sempena MotoGP Malaysia 2026.

Model Baru

Kawasaki Versys 900 2027: Versatil & Berkuasa

Kawasaki melangkah ke era lebih menarik dengan memperkenalkan Versys 900 2027, sebuah motosikal sport-touring yang menggabungkan enjin 948cc, empat silinder sebaris yang berkuasa 120hp pada 9,500rpm dan tork 9.3Nm pada 8,000rpm.

Warta Roda

Skuter Retro 125cc Bawah RM4k Bakal Masuk Pasaran

Wow...katanya para peminat dua roda tanahair bakal mempunyai satu lagi pilihan menarik apabila sebuah jenama motosikal dijangka akan hadir ke pasaran negara dengan mengenengahkan skuter berkonsepkan retro.